Monday 7 March 2016

2. PENDAHULUAN

Dalam bahasa arab terdapat dua istilah berkenaan dengan kebiasaan iaitu adat dan uruf. Adat membawa erti perbuatan atau amalan yang diulang-ulang yang menjadi budaya dan kebiasaan yang dapat diterima dalam kalangan masyarakat. Manakala uruf pula bermaksud sesuatu perkara yang telah diketahui oleh individu atau masyarakat yang tinggal di sesuatu kawasan dan menjadi kebiasaan mereka mematuhinya sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan.  Uruf juga berkaitan perkara-perkara yang mereka tidak lakukan kerana kefahamannya mengenainya. Biarpun definisi adat dan uruf nampak berbeza, namun kebanyakan ulama meletakkan ia sebagai satu perkara sama.

Para ulama sepakat menjadikan adat sebagai salah satu asas menentukan hukum. Penerimaan kaedah ini antara lain berdalil dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Terimalah yang mudah dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik." (Surah al-Araf, ayat 199). Ayat itu dapat difahami yang mana perkara baik yang sudah diterima dan diamalkan dalam sesuatu masyarakat hendaklah diteruskan, sesuai dengan matlamat Islam yang berlandaskan kepada kebaikan. Islam itu mudah dan memberikan kemudahan kepada setiap umatnya.   

Turut dijadikan hujah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apa-apa yang didapati dan yang dilihat oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang baik, maka ia juga baik di sisi Allah.". Walaupun begitu, mengikut tafsir hadis tersebut, ulama menjelaskan bukan mutlak kepada semua adat. Sesuatu adat berdasarkan kepada hawa nafsu semata-mata haruslah ditolak.  Banyak adat berasaskan kepada hawa nafsu yang boleh kita lihat seperti perempuan mendedahkan aurat tidak boleh diterima sebagai adat yang boleh dijadikan asas mengharuskan perbuatan itu.  Mendedahkan aurat adalah satu perkara yang sangat ditegah. 

Walaupun adat diterima sebagai rujukan hukum, ia tidak berasingan dengan sumber hukum asal yakni hukum yang bersumberkan daripada Allah SWT. Penerimaan adat sebagai sumber hukum dianggap satu rahmat daripada Allah SWT, yang menjadikan adat itu selari dengan hukum asal. Dengan kata lain, penerimaan adat itu sendiri bersandarkan kepada kaedah hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT.


No comments:

Post a Comment